Hayat Bermakna

Oleh : ‘Atiqah Ayob, Tahun 2, Kuliah Pergigian Al-Azhar Kaherah

Dada berombak mengah. Kepala dan kedua mata dicampak ke bawah. Mengikut derap langkah kakinya pulang, menuju ke rumah.

Selama tiga ratus enam puluh lima hari, Jim lalui kehidupan di daerah ini. Menempuh dunia mahasiswa di bawah atap universiti terulung di mata dunia. Masih terngiang pujian dan kebanggaan saudara maranya apabila mendapati dia akan melanjutkan pengajiannya di sini. Semestinya, dia juga rasa teruja. Bertuah, terpilih dalam kalangan puluhan cucu Tok Dollah, dialah yang pertama belajar di seberang.

Namun entah mengapa, setelah setahun pengajian, Jim merasakan jiwanya sudah tidak teruja seperti dahulu lagi. Jika dahulu di penggal pertama pengajian, dialah yang paling awal tiba ke kuliah, paling semangat dan paling kehadapan. Tetapi kali ini, berbeza sama sekali.

Bangun tidur dan sering kali terlajak siang, baru dia terjaga, kemudian kendiri dan terus berlari mengejar kuliah yang berbaki setengah jam sahaja lagi. Belajar, belajar dan belajar. Bila lapar, dialas perut dengan apa yang ada. Seharian letih belajar, pulang ke rumah dan terus pejam mata tidur sepuasnya. Seterusnya, pada keesokan pagi, rutin yang sama berulang dan berulang lagi.

Hiruk pikuk kenderaan petang itu, dibuat tuli. Jim mendongak kepala ke atas dan mendengus perlahan, “Letihlah!”

***

Pintu bilik terkuak perlahan.

“Bola jom!”

Jim memandang Qay yang di balik pintu.

“Letihlah.”

Pandangan matanya kembali tumpu pada papan skrin komputer yang gelap. Timbunan kertas dan buku kelihatan di atas mejanya.  Beberapa helai kertas A4 pula berselerak di lantai bilik.

“Letih selesaikan assignment ke?”

Jim menggeleng. Pandangan matanya masih tidak berganjak. Masih merenung skrin komputer yang gelap.

“Jadi, letih kerana apa?”

Pertanyaan Qay tidak dijawab segera. Jim mengalih mata ke arah tingkap yang terbuka di hadapannya.

“Aku letih dengan hidup ni”

Qay mengangguk perlahan.

Semenjak tahun 2 pengajian bermula sebulan yang lalu, Qay sedar ada sesuatu yang tidak kena pada Jim. Dia duga, memang ada kebuntuan yang berselirat di kepala temannya itu. Cuma tidak tahu kebuntuan apa.

Pada pengamatan Qay, Jim tetap sama. Rutin hariannya memang sebegitu. Interaksinya dengan teman-teman lain, masih sama. Bila diajak ke program-program ilmiah atau rekreasi, Jim akan menolak. Jim lebih suka menyendiri dan tadbir hidupnya sendiri.

Qay masih ingat, bila ditanya apa target hidup, Jim katakan; “Mahu berjaya”. Kemudian, Qay lanjutkan pertanyaan, apa pula target dirinya sepanjang berada di perantauan ini, Jim kata memadai cemerlang exam setiap semester.

همك على قدرما أهمك – Satu ungkapan arab yang boleh diertikan; kepentingan atau kesibukan kamu, berdasarkan apa yang kamu agendakan.

Sedari peristiwa itu, Qay tekad. Sudut pandang kehidupan sahabatnya ini, perlu diubah. Matlamat kehidupan seorang pemuda seperti Jim perlu lebih besar. Bukan sekadar lulus cemerlang dan kerja baik. Apatah lagi, sebagai seorang muslim, kita imani tujuan asal kita dicipta bukan sekadar mendapat itu semata-mata.

Qay yakin, bila seseorang jelas matlamat kehidupan yang mahu dicapai dan memahami dengan baik kerana apa dia bertindak sedemikian, tidak akan ada istilah ‘letih’ dengan hidup. Ini sifir yang Qay pegang.

Qay menapak menghampiri Jim. Dikutip beberapa helai kertas yang berselerak di sekitar kerusi dan meja Jim. Kemudian digumpal-gumpalkan kertas tersebut, renyuk dalam penumbuknya.

“Kau tahu Jim, dalam dunia ini, ada  tiga jenis manusia.”

Jim mengekor tingkah laku Qay. Qay duduk di atas katil bercadar biru.

“Nah!”

Gumpalan tersasar. Balingan tidak bersambut. Gumpalan terperosok di bawah meja. Jim kerut dahi, terpinga-pinga.

“Pertama, orang yang dia tidak tahu apa yang dia mahu. Dia tidak pasti untuk apa dia berada di muka bumi. Dan macam kau tadi, dia akan terpinga-pinga. Dia lalui hidup menurut pusingan masa. Bila pagi, bangun. Bila lapar, makan. Bila malam, tidur. Dan kau rasa, apa yang dia dapat akhirnya?”

Jim diam, kerut di wajah tampak jelas. Sedang berfikir dalam, barangkali.

Qay renyukkan kertas kedua. Gumpal-gumpalkan, dan baling semula. Jim tercengang. Gumpalan masih tidak tersambut.

“Kedua, orang yang dia tahu apa yang dia mahu, nampak kenapa dia hidup. Tetapi macam kau tadi, dia masih terfikir-fikir, tidak yakin, dan tidak bersedia. Dia sering tertanya-tanyakan diri, adakah benar ini kehidupan yang dia mahu. Adakah benar, ini matlamat kehidupan yang perlu dikejar. Dia tidak pasti, adakah sudah ditemui pengertian hidup yang hakiki.”

Qay mengulang lagi. Direnyukkan kertas ketiga. Gumpal-gumpalkan, dan baling semula. Kali ini, Jim  kelihatan mencuba. Namun, balingan masih tak mengena. Gumpalan kertas terperosok lagi di bawah meja.

“Ketiga, orang yang dia sudah tahu apa yang dia mahu, sudah jelas kerana apa dia dicipta dan mainkan peranan bertindak mencapai matlamat. Walau gagal, dia akan berusaha sehabis mampu agar matlamat yang dia mahu, dapat. Mungkin akan rasa letih, bila tidak dapat. Tetapi, kerana matlamat yang jelas dan faham apa yang mahu dicapai, kita akan letih dengan rasa puas.”

Kerutan pada air wajah Jim terlerai.

“Terkadang, aku terfikir juga. Adakah kita dicipta untuk sekadar makan, tidur, belajar bagai nak gila, kerja gaji besar, kahwin dan kemudian bila pencen jaga ayam itik, dan mati. Semudah itukah manusia dicipta? Tidak, kan?”

Qay menggeleng dan tersenyum, “Tidak Jim. Bukan semata itu hidup kita.”

Lega. Akhirnya, tercipta bibit untuk dibawa jiwa Jim keluar dari kepompong rutin kecilnya.

“Jadi, untuk apa?”

“Hah. Kau pernah tengok video keadaan umat Islam di Palestin?”

Jim diam sejenak. “Macam tidak pernah. Tapi, aku biasa dengar berita negara tu. Perang dengan Israel kan? Kenapa?”

Qay bingkas bangun dan menarik lengan Jim.

“Jom, kita tengok sekejap. Kenapa dah lebih 60 tahun Palestin merana. Padahal, umat Islam di dunia ni, bukan main ramai lagi.”

Jim menurut, “Betul juga, aku pernah terfikir juga dulu. Kenapa Qay?”

***

Dada berombak mengah. Kepala dan kedua mata di campak ke bawah. Mengikut derap langkah kakinya pulang, menuju ke rumah.

Sudah hampir tiga tahun, telah Jim lalui kehidupan di daerah ini. Menempuh dunia mahasiswa di bawah atap universiti terulung di mata dunia. Namun, sering dia tanyakan pada diri ; adakah dia telah menjadi mahasiswa atau pemuda yang benar-benar memahami peranan selaku seorang muslim? Adakah dia telah mempersiapkan diri untuk membantu ummah hari ini yang celaru identiti dan hina di bumi sendiri.

Jim bermuhasabah sendiri.

***

Mereka berdua jalan beriringan, menyahut seruan azan Maghrib. Menuju ke masjid berdekatan rumah.

Jim mencuit lengan sahabatnya, “Qay, kau tahu berita terkini?”

“Gaza?”

Jim mengangguk. Dia meluah rasa pada Qay, “Aku cemburu. Pada hari pertama tahun hijrah bermula, As-syahid Ahmad Al-Ja’bari bertemu Allah SWT dalam keadaan kematian yang sempurna.”

Qay mengiyakan. Pandangan mata keduanya ditala ke langit.

“Dan aku malu. Entah apa yang telah aku buat selama hidup ini, untuk dapatkan kematian yang sebaik syahid sepertinya.”

Qay meletakkan tangannya di bahu Jim,“Benarlah kata as-Syahid Syed Qutb ;

إن الذي يعيش لنفسه قد يعيش سعيدا ولكنه سيعيش صغيرا ويموت صغيرا  و الذي يعيش لامته يعيش عظيما كبيرا و لا يموت ابدا

Jim menghentikan langkah. Dipandang tepat ke wajah Qay.

“Maksudnya?”

Qay melirik senyum, dan menjelaskan dengan cermat mafhum petikan kata yang diungkapkan.

“Maksudnya ; Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri, dia barangkali hidup bahagia. Tetapi dia akan hidup kecil dan mati sebagai orang yang kecil. Sedangkan orang yang hidup untuk umatnya, dia akan hidup mulia dan besar, serta tidak akan pernah mati.”

Jim bersungguh memahami apa yang disampaikan Qay. Kaki keduanya kemudian menapak ke arah tangga masjid.

Sebelum masing-masing mengambil posisi untuk solat dua rakaat, Jim sekali lagi mencuit Qay.

“Qay, sempena tahun baru ni. Jom kita berazam sama-sama.”

Qay ceria menyambut ajakan sahabatnya, “Ok. Azam apa?”

“Menjadi pemuda beragenda.”

“Terbaik! Ok, balik nanti kita buat timeline. Bagaimana nak jadi pemuda beragenda dan pemuda yang bermanfaat untuk ummah.”

Jim mengangguk yakin, “Ok!”

 

“ Bersama Membangun Umat Beragenda”

Comments

comments

Comments are closed.