Petua Mumtaz

 Petua Mumtaz

Oleh : Sakinah Yusof, Tahun 3, Kuliah Perubatan Ain Shams

Tahun 2013 membuka tirai dengan keazaman dan cita-cita yang baru. Juga dengan persediaan yang lebih rapi untuk menempuh beberapa siri ujian kehidupan. Bersemangat waja untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam.

Di waktu ini, kebanyakan daripada kita sedang sibuk menghadapi peperiksaan semester pertama. Malah, sudah pasti terselit keazaman yang kental dalam diri setiap mahasiswa dan mahasiswi untuk melakar kejayaan yang cemerlang. Hakikatnya, kejayaan yang kita impikan bukanlah untuk kita semata-mata kerana kejayaan itu memberi kesan yang besar pada ummah seluruhnya.

Bukankah seorang Muslim itu akan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh? Bukankah Islam itu tempatnya tinggi dan perlu menjadi yang tertinggi? Ya, kejayaan itu adalah milik umat Islam! Jika saudara seIslam kita yang berada di Palestin sedang gigih berjuang mempertahankan tanah air, kita di sini berjuang untuk menuntut ilmu bagi menggalas tanggungjawab terhadap negara pada masa hadapan.

1-Niat yang benar dan ikhlas

Perkara pertama yang perlu diambil cakna sebelum melakukan sebarang pekerjaan ialah niat. Niat yang ikhlas semata-mata kerana ingin mendapatkan redha Allah SWT akan membantu menghilangkan tekanan dalam diri. Malah, jadikannya sebagai satu titik fokus.

Seandainya kita belajar untuk mengejar dean list, mendapatkan sponsor, kita akan mengalami tekanan bila apa yang diharapkan tidak seperti yang dijangkakan. Perasaan kecewa akan mudah menguasai serta memberi kesan pada diri. Namun, jika dibulatkan niat kerana Allah, secara tidak langsung, kita bakal meredhai natijah yang diperolehi selagi kita meyakini bahawa kita telah memberikan yang terbaik.

Memetik kata-kata Anas bin Malik : “ Kejayaanku kerana ketaatanku kepada Tuhanku”.

2-Tersusun strategi

Pernahkah anda mendengar ungkapan, ‘Jahiliah yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang’? Juga disertakan dalam 10 sifat peribadi Muslim yang digariskan oleh Imam Syahid Hassan Al-Banna, dengan menyertakan tersusun dalam urusannya sebagai salah satu peribadi yang perlu ada dalam diri seorang Muslim.

Jadi, rancanglah masa dan jadual anda dengan baik bermula daripada sekarang. Dahulukan dengan mengulangkaji subjek yang anda lemah kerana semangat untuk belajar di awal musim peperiksaan adalah tinggi. Selang-selikan pembacaan anda dengan membuat latihan kerana output pembacaan anda boleh dinilai daripada latihan yang dibuat dan secara tidak langsung aktiviti ini membantu meningkatkan memori.

3-Bersedia melakukanpengorbanan

Sejarah Islam telah menyaksikan kehebatan tokoh-tokoh ilmuwan terdahulu yang memulakan pencarian ilmu dengan kesediaan untuk berkorban dan seterusnya melakukan pengorbanan tersebut secara praktikal. Sebagai contoh, Badiuzaman Said Nursi telah menempuh jalan menuntut ilmu hingga ke luar tanah airnya dan berpisah daripada keluarga ketika usia yang masih muda.

Imam Syafei pula hanya menggunakan satu pertiga malamnya untuk tidur dan selebihnya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah serta mentelaah kitab-kitab kerana kecintaannya yang tinggi kepada kepada ilmu. Jelas, kejayaan yang cemerlang itu tidak akan diperolehi dengan mudah tetapi ia menuntut pengorbanan yang besar.

Malah, keputusan peperiksaan anda tidak akan menjadi luar biasa sekiranya anda hanya memberikan usaha yang biasa-biasa sekalipun bakal mengurangkan masa rehat anda.

4-Jagalah hubungan dengan Allah dan jagalah hubungan dengan manusia

Jika dianalisa, kebanyakan pelajar akan menghabiskan minggu ‘study leave’ mereka dengan sebaik yang mungkin. Tempoh 24 jam digunakan untuk sentiasa berkepit dengan buku, hatta ke tandas. Tak dinafikan, istilah peperiksaan itu sendiri telah menjentik fungsi sistem saraf sympathetic sehingga kita sanggup bersengkang mata hingga ke lewat malam. Namun, perkara inilah yang perlu dilihat kembali.

Dalam kepenatan berkejar dengan fokus kepada peperiksaan sehingga kita terlupa akan kelompok manusia yang ada di sekeliling dan perlu untuk diberikan haknya. Hak menziarahinya bila sakit, hak menyiapkan tugasan rumah yang disepakati, hak saling menasihati dan menguatkan serta yang selainnya telah kita abaikan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 112:

“ضربت عليهم الذلة أين ما ثقفوا الا بحبل من الله وحبل من الناس”

Maksudnya : “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka (berpegang) pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia.”

5-Menjaga dan menunaikan hak pada yang sepatutnya

Cuba untuk berlaku adil terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Tunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar, Muslim, anak, sahabat dan ahli rumah dengan semampu kudrat kita. Sentias bermanis muka dengan orang yang berada di sekeliling kita. Itulah kuasa sebuah senyuman yang bukan sahaja menimbulkan kesan positif pada sekeliling, malahan memberi kebaikan yang banyak untuk diri sendiri. Dan itu juga membantu dalam membina suasana yang kondusif untuk belajar.

6-Belajar dan berehat dengan perkara yang berfaedah

Kebiasaanya otak manusia hanya mampu fokus di beberapa minit yang pertama. Cuba untuk mencapai target maksimun dan berehatlah. Tidak perlu memaksa diri dengan terus membaca buku bahkan cuba untuk menggunakan alternatif lain dalam menggiatkan kembali daya fokus. Hadiahkan diri anda dengan beberapa minit kerehatan. Tetapi, awas! Berehatlah dengan melakukan perkara yang berfaedah seperti bersiar-siar mengambil udara segar atau bersenam serta melakukan kerja rumah atau selainnya.

7-Ilmu itu cahaya

Pesan Imam Waqie’ kepada Imam Shafie tatkala beliau mengadu kepadanya bahawa ia sedang dalam kesukaran untuk menghafal, maka, katanya :

“ العلم نورا  ونور الله لا يهدى للعاصي”

Maksudnya : “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak ditunjukkan untuk orang yang membuat maksiat”.

Peliharalah diri dari melakukan dosa sekalipun dosa yang kecil. Yang kecil tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia juga mampu membawa kepada dosa besar. Setiap dosa yang dilakukan akan meninggalkan kesan hitam pada hati manusia. Oleh itu, sentiasalah memperbaharui iman dan taubat sepanjang masa tanpa bertangguh.

 

Petua yang ada terlalu banyak serta caranya juga pelbagai untuk mendapatkan siri kecemerlangan yang berterusan. Pokok pangkalnya, berbalik kepada diri kita sendiri sama ada sedia untuk berubah atau tidak.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka ”.

Selamat memaknakan peperiksaan dan menggapai kecemerlangan.

‘Bersama Membangun Mahasiswa Beragenda’

Comments

comments

ISMAMESIR