Ijtima’ Syahri : Acuan Islam Terbukti Melahirkan Generasi Gemilang

Wartawan : Norhafizah Noorizani ( Jurugambar : Maryamthohirah Hishamzuhudy )

TANTA, 3 Disember : Bersempena dengan musim peperiksaan, siswi ISMA-Mesir cawangan Tanta telah berkumpul di Ijtima’ Syahri yang memfokuskan kepada ukhuwwah dan persediaan menghadapi peperiksaan.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan persembahan yang berjaya menonjolkan bakat-bakat siswi.  Slot motivasi oleh saudari Suhaili Noredan (Graduan Universiti Al-Azhar ) telah mendapat perhatian para peserta.

“Jurusan Perubatan dan Pergigian bukanlah sesuatu yang melalaikan dari kejayaan akhirat  jika kita meletakkannya sebagai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu perubatan adalah ilmu warisan ulama’ yang telah bertukus lumus mendalaminya. Jadi, wajarlah kita menyahut perjuangan mereka dengan meletakkan wawasan tinggi iaitu kejayaan kita adalah milik ummah agar Islam kembali gemilang,” ujar saudari  Suhaili.

Tambah beliau lagi, seorang mahasiswi perlu belajar dalam bidangnya dengan penuh semangat supaya generasi seperti Ibnu Sina mampu dilahirkan semula.

Turut memeriahkan majlis ialah perkongsian oleh saudari Khairah Abdul Halim, Ketua Wanita ISMA-Mesir. Beliau mengajak para peserta agar kembali muhasabah diri. Beliau menegaskan bahawa nilai ikhlas adalah penentu yang terbesar dalam memastikan amalan diterima. Dengan sifat inilah lahirnya insan hebat seperti  Asma’ binti Abu Bakar dan Sumayyah dalam melalui liku hidup yang sangat mencabar.

Beliau berulang kali berpesan agar setiap ilmu yang diperolehi hendaklah diamalkan bahkan konsep ‘output lebih banyak daripada input’ turut ditegaskan.

“ Seorang doktor mempunyai peluang yang paling luas untuk menyebarkan Islam kepada masyarakat disamping merawat penyakit zahir dan batin pesakit. Jadi, bersungguhlah dalam membuat persiapan untuk ummah”, ujar saudari Khairah.

Majlis berakhir dengan persembahan penutup oleh wakil akhawat. Pihak program berharap agar ukhuwwah yang terjalin akan kekal hingga ke syurga  kerana ia adalah sumber kekuatan utama umat Islam.

“BERSAMA MEMBANGUN MAHASISWA BERAGENDA”

Comments

comments

Comments are closed.