Wawancara Bersama Graduan Mumtaz Universiti Iskandariah


Majlis graduasi bagi meraikan 192 graduan pelajar perubatan tajaan MARA telah diadakan pada 13 Oktober 2012. Saudari Afifah Said adalah salah seorang graduan yang telah mencatat pencapaian Mumtaz. Ibu kepada seorang anak ini telah mendapat tempat kedua terbaik dari keseluruhan pelajar dalam majlis anjuran Universiti Iskandariah tersebut.

Anak bongsu kepada pasangan Said Mohd Salleh dan Putih Salleh ini menjadikan ‘’Hidup mulia, mati syahid’’ sebagai moto hidupnya .

Wartawan Liyana Sulaiman telah mengambil kesempatan menemubual saudari Afifah yang baru sahaja melahirkan anak sejurus sebelum peperiksaan untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Apakah perkara yang perlu ditekankan dalam pelajaran ketika dalam kesibukan menguruskan rumahtangga dan juga tarbiyah?

Hadirkan niat yang ikhlas sebelum ke kelas kerana permulaan yang baik akan mendapat pengakhiran yg baik.
Sebelum peperiksaan, saya akan habiskan semua bacaan sekurang kurangnya sekali. Kemudian saya akan hafal dan tekankan semula tajuk-tajuk penting.

Saya memilih waktu malam untuk mengulangkaji pelajaran kerana fokus saya lebih tajam pada waktu ini dan lebih mudah untuk mendirikan solat tahajjud. Manakala pada waktu pagi saya lebih sibuk menguruskan perkara-perkara lain. Banyakkan berdoa untuk diri dan orang lain pada setiap keadaan dengan bersungguh-sungguh.

Saya menyarankan agar kita perlu banyakkan bertanya, mengadakan sesi diskusi, membaca bahan bacaan lain selain dari buku teks dan membuat contoh soalan-soalan tahun lepas. Ini adalah untuk mendapatkan pemahaman yang tepat serta menguji tahap kefahaman.

 Apakah yang menjadi pendorong dan  pemberi semangat kepada saudari untuk terus berjaya?

Pertamanya adalah kerana tuntutan Islam yang mahukan ummatnya menjadi yang terbaik. Saya melihat bahawa penguasaan ilmu kebanyakannya lebih menonjol dalam kalangan bukan Islam dan bukan Melayu. Hal ini memberi peluang kepada mereka menjadi contoh ikutan masyarakat.

Keduanya, saya akan semangat dan terdorong apabila membaca kisah Muslim yang berjaya terutamanya apabila mereka adalah dalam kalangan pendakwah yang juga sibuk dengan tugasan sebagai seorang doktor, pegawai bank, jurutera dan sebagainya.

Selain itu, dorongan suami, ibu dan ahli keluarga yang membuatkan saya akan berusaha sehabis boleh.

Apakah matlamat hidup saudari?

Matlamat saya agar menjadi doktor muslimah yang boleh mengubati masyarakat baik dari kesihatan jasmani mahupun rohani. Selain itu, saya juga mengimpikan agar menjadi beit muslim contoh yang mampu melahirkan generasi harapan ummah.

 Siapakah tokoh yang menjadi pendorong dan ikutan bagi saudari?

Rasulullah SAW dan para sahabat. Melalui pembacaan sirah, mereka ini adalah tokoh ikutan yang praktikal sepanjang zaman.

Alhamdulillah, keberadaan saya di Mesir telah membuka mata hati untuk mengenali peribadi pemimpin Islam yang bukan calang-calang. Ramai di kalangan mereka adalah pakar kanak kanak, pakar dalam bidang kejuruteraan dan lain-lain lagi.

Apakah perkara yang selalu saudari amalkan bagi membantu kejayaan saudari?

Amalkan pemakanan seimbang. Saya gemar makan ikan. Menurut dapatan kajian, ikan dapat membantu menguatkan ingatan.
Saya juga melazimi ziarah, telefon atau sms akhawat untuk bertanya khabar, mengetahui persediaan mereka dan memohon kata semangat dan doa.

Apakah nasihat yang ingin saudari sampaikan kepada pembaca supaya terus bersemangat untuk berjaya dalam akademik dan tarbiyah?

Jagalah kesihatan kerana dengannya kita dapat memaksimumkan kudrat untuk pelajaran dan dakwah. Jangan pandang enteng perkara ini kerana salah satu punca mengantuk dan letih dalam kelas atau usrah adalah kerana kekurangan zat besi.

Jauhkan hasad dengki sesama kita, banyakkan doa untuk sahabat kita, gunakanlah masa sebaiknya. Tinggalkan atau kurangkan perkara mubahat (perkara harus yang tidak perlu seperti berlebihan dalam facebook, anime, window shopping).
Berusahalah jadi yang terbaik dalam pelajaran, cari dan gunakan setiap peluang yang ada untuk berusaha ke arah itu. Wallahu a’lam.

Ribuan terima kasih atas perkongsian saudari.  Saya mewakili ISMA Mesir mengucapkan tahniah atas kejayaan saudari dan mendoakan agar saudari terus mengharumkan nama Islam.

 

Comments

comments

Comments are closed.