Sajak: Pewaris Al-Quds

 Sajak: Pewaris Al-Quds

Oleh : Norbayani Shamsudin, Tahun 6, Kuliah Perubatan Iskandariah

Wajah keruhmu kutatap aneh,

Sejak bila kerutmu bertambah?

Rambut yang putih, ubankah itu?

Senyum lah bonda,

Senyumlah untuk sekejap cuma.

 

Pandanganmu penuh risau,

Tak terarah ke mana-mana,

Dada berombak penuh sesak,

Bibir menggeletar tapi kata tak terucap.

 

Wahai bonda yang membesarkanku penuh cinta,

Apa yang membebankan dada?

Hatimu..terlukakah ia?

Kalamku..mungkinkah ada pahitnya?

 

Bondaku,

Senyumlah tanda rela,

Gelenglah agar ku tahu kau tak redha,

Luahkan apa yang tersembunyi di jiwa.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Duhai anak yang ku didik demi redhaNya,

Duhai anak yang ku besar dalam derita,

Duhai anak yang hanyamu yang memberiku bahagia,

Duhai anak si pengganti ayahanda yang tiada.

 

Anakanda tercinta,

Kerut ini bukan ertinya duka,

Uban ini bukti usia hampir penghujungnya,

Dada ini sesak bukan kerana duka,

Bibir ini menggeletar penuh dengan suka.

 

Anakku,

Ayahmu dulu berpesan,

Tugasku mendidikmu bukan mainan,

Membesarkanmu bukan gurauan,

Melengkapkan dengan agama tanpa ada yang kurang.

 

Anakku,

Kita menjadi pelarian di negara sendiri,

Rakyat yang sah dipanggil pengganas,

Tanah yang luas hilang dirampas.

 

Anakku,

Makan kita apa yang ada,

Irama keroncong peneman setia,

Matahari terbenam malamlah kita,

Sejuk atau panas kita tempuhinya.

 

Anakku,

Ayahmu tidak pergi sia-sia,

Matinya mati seorang pembela,

Matinya mulia syuhada gelarannya,

Matinya dalam mimpi mahu ke syurga.

Anakku,

Solat malam itu kekuatan,

Rahsia perwira zaman berzaman,

Dengannya Al-Fateh wira terbilang,

Dengannya Salahuddin menjulang juang,

Hingga Palestin bukan tawanan.

 

Anakku,

Untuk Palestin, jihadlah jawapan,

Bila perjanjian hanya mainan buat lawan,

Omongan kosong penuh kepuraan.

Dan nun di sana saudara seakidah juga ditawan,

Bukan dirantai oleh tangan,

Tapi dek hiburan siang dan malam,

Bagai tak mungkin kembali pada tuhan,

Bagai tiada hari perhitungan.

 

Anakku,

Ibu tua mu sedang bahagia,

Menghantar anaknya untuk ke syurga,

Ibu mu menghantarmu penuh rela,

Pergilah anakku dengan redha,

Berjuanglah anakku tanpa lemah di dada,

Angkatlah kepalamu kerana mulia bagi yang beiman pada-Nya,

Kembalikan maruah islam tercinta,

Rampas semula bumi kita,

Dan andai syahid milikmu jua,

Kita berjumpa di syurga sana.

 

 

 

 

Comments

comments

ISMAMESIR