Kunjungan Rasmi ISMA Mesir ke Kedutaan Malaysia Kaherah

(Wartawan: Asyraf Kosnan)

MUHANDISIN, 25 Disember: Satu kunjungan dan pertemuan rasmi antara wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir dengan TYT. Prof. Madya. Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti telah diadakan Khamis lalu di Pejabat Kedutaan Malaysia, Giza. Delegasi ISMA Mesir telah diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat bersama-sama dengan sembilan orang lagi ahli jawatankuasa pusat (JKP) ISMA Mesir yang lain.

Pertemuan tersebut diatur dengan matlamat bagiĀ merapatkan hubungan silaturahim antara ISMA Mesir selaku persatuan yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia dengan pihak Dato’ Duta. Dalam pada itu pihak ISMA Mesir turut membentangkan visi dan objektif persatuan di samping menerangkan seruan ISMA Mesir dan memperkenalkan barisan JKP sesi 2012/13.

TYT. Prof. Madya. Dr. Mohd. Fakhrudin dalam ucapannnya turut menyampaikan amanat dan pesanan agar kita selaku mahasiswa memberi keutamaan terhadap aspek pelajaran dan meletakkan sasaran untuk belajar sehingga ke peringkat yang tertinggi.

Selain itu, graduan Al-Azhar dan perubatan dari Mesir juga dituntut agar menguasai Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dengan baik bagi melahirkan pemimpin masa depan negara yang kompeten dan sesuai dengan keperluan masa kini.

Ketika pertemuan itu juga, beliau turut menyeru kepada kepada semua graduan Mesir untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada umat Islam dan pembangunan negara.

 

Comments

comments

ISMAMESIR