Merdeka dalam Naungan Al-Quran

Oleh : Muhammad Irfan bin Mohamad Salmi, Tahun 6, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah

Bila menyebut mengenai kemerdekaan pasti ramai yang terlintas di kepala akan peristiwa penurunan bendera Bristish dan menggantikannya dengan bendera Malaysia atau tanah Malaya ketika itu. Pasti ramai yang teringat deligasi pimpinan dari Tanah Melayu yang diketuai Tunku Abdul Rahman menuju ke Britain mengadakan perbincangan berkenaan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pasti ramai yang terkenang hari bersejarah 31 Ogos 1957, di mana rakyat Malaysia berkumpul di Stadium Merdeka melaungkan kalimat “Merdeka”.

Namun hakikatnya, pengertian merdeka ini mencakupi makna yang sangat luas lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim dan tidak terhenti setakat keluarnya tentera penjajahan dari tanah air. Bagi mereka yang merasai hidup di bawah bayangan al-Quran, akan memahami erti sebenar kemerdekaan ini seperti mana yang Allah dan Rasul inginkan.

Pertama sekali setiap jiwa yang beriman dengan Allah terlebih dahulu perlu membebaskan hawa nafsunya dari dikuasai syaitan. Kerana Syaitan ibarat penjajah yang telah berikrar dan berjanji untuk membawa bersamanya ke dalam neraka. Sejak mengingkari perintah Allah untuk sujud kepada Adam, Syaitan terus meletakkan objektif keseluruhan kehidupannya adalah untuk menyesatkan anak Adam. Syaitan tidak akan sekali-kali redha dengan anak Adam yang tunduk melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah.

قال فبما أغويتنى لأقعدن لهم صر’طك المستقيم ثم لأتينهم من بين أيديهم ومن خلفهم وعن أيمانهم وعن شمائلهم ولا تجد أكثرهم شاكرين

Iblis berkata:”Oleh kerana Engkau(wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka(dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka , dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. ( Al-A’araf 16-17)

قال فبعزتك لأغوينهم أجمعين إلا عبادك منهم المخلصين

Iblis berkata: “ Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku) aku akan menyesatkan mereka semuanya,
“Kecuali hamba-hambaMu (di antara zuriat-zuriat Adam itu) yang dibersihkan (dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan)”. (Shad 82-83)

Kerana itu Rasullah mengajar manusia untuk memerdekakan nafsu mereka dari dikuasai Syaitan yang dilaknat. Kerana mana-mana jiwa yang mengikut jalan Syaitan akan menuju ke pengakhiran yang dahsyat.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

Dari Abdullah bin `Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga hawa nafsunya tunduk menurut hukum-hukum dan pengajaran yang aku telah membawanya.”

Jadi muslim perlu sedar dengan musuh ini dan perlu peka terhadap cara musuh ini menyerang dan menguasai diri kita. Mereka yang gagal mengenali musuh akan kalah sebelum sempat masuk ke medan peperangan.

Syaitan tidak berhenti setakat itu, mereka akan bergerak menyesatkan manusia dengan segala cara. Dalam masa yang sama, Syaitan juga menggerakan tentera mereka dari kalangan manusia untuk menjayakan misi mereka.

وكذالك جعلنا لكل نبي عدوا شيلطين الإنس ولاجن بعضهم يوحى إلى بعض زخرف القول غرورا

Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu masuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.( Al-An’am 112)

يكوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hari ini kita melihat Negara kita satu bentuk penjajahan berlaku di depan mata kita sendiri, dalam kalangan bangsa kita sendiri dengan bahasa kita sendiri. Musuh tidak lagi menggunakan pencerobahan dan pelanggaran ke atas negara-negara Islam tapi menggunakan pendekatan halus yang mana kesudahannya tetap sama – orang Islam tidak menjalankan syariat Allah dan tunduk kepada hawa nafsu.

Hari ini kita melihat musuh-musuh kita ini cuba membawa Islam dalam satu bentuk yang tanpa kita sedari adalah penjajahan ke atas Agama dan Negara kita. Hari ini kita mendengar Liberalisme, Pluralisme, Kristianisasi dan Syiah semakin menular ke dalam negara kita. Semuanya dalam menjayakan hegemoni musuh ke atas negara dalam bentuk baru.

Kita sudah memasuki tahun ke-55 kemerdekaan pada 31 ogos 2012 ini, tapi bagi muslim kita tidak boleh berasa selesa. Realiti yang berlaku memaksa kita untuk bergerak dan melawan bentuk penjajahan baru ini. Langkah kedua selepas membebaskan jiwa dari cengkaman hawa nafsu dan Syaitan adalah dengan membebaskan tanah air dari pencerobahan baru ini.
Jika dulu kita melawan musuh berbekalkan senapang dan pistol, kapal terbang dan kereta kebal, medan peperangan hari ini memerlukan persedian yang baru. Kerana itu al-Quran mengajar kita bersedia menghadapi peperangan ini dengan segala kelengkapan yang termampu

وأعوا لهم ما استطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدو الله وعدوكم وءاخرون من دونهم لا تعلمونهم اله يعلمهم

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kami sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mneggerukan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya”. (Al-Anfaal 60)

Orang yang merdeka perlu lebih memahami agama mereka supaya tidak dipermainkan oleh musuh.
Orang yang merdeka perlu lebih sensitif terhadap sebarang bentuk pencerobohan terhadap agama dan Negara.
Orang yang merdeka perlu memainkan peranan yang aktif tidak kira dalam apa bidang sekali pun yang mereka ceburi.
Orang yang merdeka perlu merasa tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu mereka.
Jika kita katakan kita kini sangat lemah dan tidak mampu menyaingi mereka, maka kenyataan ini separuh betul dan separuh salah.

Ya betul kita lemah tapi tidak bermakna kita tidak mampu melawan. Sesungguhnya putus asa itu adalah sifat orang kafir dan bukan sifat orang Muslim yang merdeka

وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

“Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.(Yusuf 87)

Dan sesungguhnya segala perancangan musuh kita ini adalah lemah dan boleh dipatahkan.

الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah (An-Nisa’ 76)

Marilah kita menjadi seorang yang merdeka
Merdeka jiwanya, Merdeka fikirannya
Merdeka agamanya, Merdeka tanah airnya.

 

Comments

comments

Comments are closed.