TAKEMATACI : Titik tolak seruan keterbukaan ISMA-Mesir

Wartawan : Norhafizah Noorizani

TANTA, 26 November:  Forum TAKEMATACI ( Tak Kenal Maka Tak Cinta ) yang bertempat di Masjid Ar-Rahmah ini bertujuan memupuk sikap keterbukaan sesama persatuan yang menaungi mahasiswa di Tanta sekaligus memperkenalkan ISMA-Mesir serta membuka ruang perbincangan kepada hadirin.

Bertemakan “ Jom Taaruf, Jom Bincang , Jom Dialog “, program ini telah menampilkan 3 orang ahli panel iaitu Ustaz Muhd Firdaus Zalani ( Tahun 4, Syariah Islamiah ), Ustaz Khairul Fatihin ( Tahun 4, Syariah Islamiah ) dan saudari Siti Maisarah Razali ( Tahun 4, Perubatan ).

“ Pembentukan jati diri adalah fokus utama ISMA dalam penyelesaian masalah yang melanda umat hari ini termasuklah serangan-serangan ideologi terhadap mahasiswa”, ujar Ustaz Firdaus Zalani. Beliau juga turut mengupas slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Ustaz Khairul Fatihin pula menerangkan  4 seruan ISMA-Mesir iaitu perpaduan dalam kalangan mahasiswa tanpa mengira latar belakang persatuan  atas dasar taqwa, peningkatan kualiti mahasiswa secara tersusun, keterbukaan berfikir serta kritis menguruskan perbezaan pendapat dengan nilai  Islami  dan hidup beragenda bagi mencorak masa depan negara.

“ ISMA menawarkan pelbagai program bermanfaat yang bersifat berkala seperti riadah, HELWA (hal ehwal wanita), I-Medic Presentation, Kelas Bermodul Isu Perubatan, mahupun secara umum seperti Konsert Palestin, HARWANIS (Hari Wanita Islam), Seminar Agenda Umat dan lain-lain . Namun, core business ISMA ialah pembentukan syakhsiah muslim itu sendiri”, ujar saudari Siti Maisarah Razali yang turut memperkenalkan Rakan ISMA-Mesir dan pakej-pakejnya.

Menurut seorang peserta, saudari Nurhanani Bt Abu Hassan al-Shaari, “ Saya melihat bahawa setiap persatuan mempunyai misi utama yang sama demi membangunkan umat walaupun berlainan pendekatan. Saya berharap agar semua persatuan termasuk ISMA  berjaya melaksanakan misi masing-masing dengan cara masing-masing selagi tidak menyalahi syariat.”

ISMA MESIR cawangan Tanta berharap lebih banyak program berbentuk  kerjasama antara persatuan dapat diadakan demi pembangunan umat kerana pemuda hari hari ini adalah harapan negara dan agama pada masa hadapan.

Comments

comments

Comments are closed.