Pelayaran Ukhwah Di Ijtima’ Syahrie
Wartawan: Zainun Nadhirah Abdul Nasir
SAYEDA ZAINAB, 25 November: “Ambillah manfaat sebanyak mungkin daripada sesebuah ukhuwah.” Itulah kata-kata Imam Syahid Hasan Al-Banna yang dipetik oleh saudari Khairah Abdul Halim, Ketua Wanita ISMA Mesir dalam pembukaan majlis.
Ijtima’ Syahrie merupakan program khas ISMA Mesir dalam menyatukan ahli-ahlinya dalam cawangan setiap bulan. Pada perkumpulan kali ini, mahasiswi ISMA Mesir cawangan Sayeda Zainab dan Abbasiyah mengambil inisiatif untuk bergabung bersama.
Saudari Khairah Abdul Halim telah menekankan tiga aspek utama dalam dakwah Islamiyyah iaitu ikhlas, ukhuwah dan amal jihad.
“Ramai orang kasihan pada orang Islam Gaza kerana penindasan terhadap mereka. Namun, mereka tidak pernah menganggap darah mereka yang mengalir itu sia-sia, tetapi darah syuhada’ itulah yang menghidupkan kembali ruh kesatuan dalam kalangan umat Islam seluruh dunia”.
“Apakah persamaan antara para mujahid seperti Profesor Dr. Raghib Sarjani dan Abdul Aziz Rantisi? Mereka adalah contoh yang cemerlang dalam bidang kerjaya. Dalam masa yang sama, mereka jugalah seorang daie yang berjaya menempatkan diri dalam masyarakat. Itulah ciri yang perlu kita sematkan dalam diri,” ucap saudari Amirah Ab Jalil, ketua cawangan Abbasiyah.
Ucapan dari wakil Sayeda Zainab, sambutan hari jadi dua orang siswi dan taklifan ta’khi sepanjang musim peperiksaan telah mengeratkan lagi ikatan antara hadirin.
Ijtima’ kali ini bertempat di Sungai Nil dan berjaya mengumpulkan 35 orang mahasiswi ISMA dari dua cawangan Kaherah.