NATRAH : Aqidah Titik Perpaduan

Wartawan: Shazwan Shukri (Jurugambar: Haziq Daniel)

ISKANDARIAH, 24 November: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Iskandariah untuk julung-julung kalinya berjaya menganjurkan satu forum yang bertajuk ‘Natrah Gegarkan Nusantara’ bertempat di Masjid Iman, Kubri Gamaah, Iskandariah.

Penganjuran forum yang melibatkan mahasiswa Iskandariah ini bertujuan menyingkap semula perpaduan orang muslim di Tanah Melayu dalam mempertahankan isu aqidah dan umat Islam itu sendiri.
Forum ini dikendalikan oleh saudara Abdul Rahman Dashuki selaku moderator forum dan ditemani oleh 2 orang ahli panel iaitu Muhd Hazim Azhar yang merupakan pelajar perubatan tahun 6 Universiti Kaherah dan Muhammad Firdaus Zalani, Ketua Majlis Ulama Isma Mesir (MUIS) merangkap Exco Kelab Peguam Muda Mesir.

Antara isi-isi penting perbincangan forum ini adalah berkaitan isu akidah yang merupakan isu yang penting untuk difahami bersama. Peristiwa Natrah yang berlaku pada tahun 1950 telah menyebabkan kematian seramai 18 orang apabila penunjuk perasaan berkumpul dan bertempur dengan pihak polis apabila seorang gadis berketurunan Belanda yang dibesarkan keluarga Melayu diserahkan kembali kepada keluarga asalnya yang beragama Kristian Katolik.

Menurut saudara Hazim Azhar selaku penalis peristiwa rusuhan tersebut merupakan titik tolak kepada berlakunya tragedi Natrah ini. Namun antara noktah yang penting peristiwa ini adalah sensitiviti yang mendalam masyarakat tempatan pada ketika itu dalam memperjuangkan aqidah seorang wanita yang bernama Natrah dengan mengetepikan segala perbezaan bangsa, parti, negeri dan sebagainya.

Menurut Saudara Firdaus Zalani pula, selepas tragedi berdarah ini, tak dapat dinafikan bahawa sumbangan Tan Sri Datuk Professor Ahmad Ibrahim kepada sistem perundangan di Malaysia lebih menjamin kedudukan ISLAM. Atas usaha keras beliau kepada undang-undang untuk menjaga kepentingan ISLAM, beliau telah dibuang negeri daripada Singapura ketika itu.

Akhirnya pembentukan peribadi muslim yang syumul merupakan benteng yang paling kukuh dalam mempertahankan aqidah dan sensitiviti umat. Dengan terhasilnya seorang individu yang mampunyai jati diri yang kental maka akan lahirlah generasi yang hebat seperti mana generasi Rasulullah dan sahabat dahulu.

Comments

comments