Forum Ancaman Syiah Tarik 300 Kehadiran, Sensitiviti Mahasiswa Tinggi

Wartawan: Ahmad Fuad Jamil (Jurugambar: Shafiq Mansor)

SHAIMA, 15 November: Ikatan Muslimin Malaysia Mesir (ISMA) cawangan Mansurah telah berjaya menganjurkan forum ancaman syiah bertempat di masjid Amin Syarie Norkitee. Forum ini dikendalikan oleh saudara Mohd Khairil Alias selaku moderator dan dua orang panel, Ustaz Assidiq bin Fauzan dan Ustaz Ahmad Solahuddin Bin Ismail.

Ustaz Assidiq bin Fauzan selaku ahli panel pertama telah mengupas isu syiah dengan menceritakan beberapa buah teori kemunculan golongan bermazhab syiah ini. Hadirin turut ditekankan agar apa yang berlaku pada dunia umat islam hari ini harus diambil cakna sebagai seorang muslim dengan banyak mengkaji sejarah dan memahami arus percaturan musuh di dalam dan luar negara.

Berikutan penularan Syiah di Malaysia baru baru ini, Ustaz Ahmad Solahuddin Bin Ismail mengulas bahawa kehadiran syiah di Malaysia mampu menggugat penyatuan umat  Islam dan menjadikan peluang kepada musuh menyusup masuk  ke dalam masyarakat dan merosakkan jati diri mereka. Tanpa kesedaran yang tinggi dan kerjasama daripada semua pihak dalam menyekat syiah ini, negara berada di dalam keadaan yang tidak stabil dari segi politik, sosial dan ekonomi.

Para hadirin yang hadir di kalangan penuntut perubatan dan pengajian agama juga turut bertanyakan soalan mengenai syiah dan peranan mereka selaku mahasiswa dalam memahamkan syiah bukanlah mazhab fikh tetapi adalah kelahiran entiti agama yang menyimpang daripada ajaran Islam kepada masyarakat.

Sambutan luar jangkaan daripada hadirin yang hadir memberikan impak positif bahawa sensitiviti umat islam terhadap agama masih lagi tinggi dan perlunya aqidah umat diselamatkan daripada ancaman liberalisme, humanisme, pluralisme dan juga syiah.

Semoga forum ini dapat memberikan pencerahan kepada umat islam dan menjadikannya sebagai loncatan ke arah mempertahankan Islam dari semua juzuk dan asasnya. Pihak penganjur juga berharap agar akan lahir generasi yang bakal membangunkan agama Allah ini di muka bumi.

Comments

comments

Comments are closed.