Seni Dakwah Melalui Al-Quran : Nazrey Johani

Wartawan: Uzsair Umair (Jurugambar: Mohd Faiz Lee)

MADINAH NASR, 8 November: Dengan kerjasama Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir telah mengadakan satu sesi bual bicara “Kesenian dalam Islam”, bersama artis terkenal tanah air yang juga penggiat dakwah, Nazrey Johani.

Beliau yang merupakan anak jati Sabah berkata, “Kita harus sedar kesenian yang dimaksudkan bukanlah kesenian yang melalaikan, menjatuhkan manusia, memecahkan sesebuah kaum dan dibawa atas motif hawa nafsu. Tetapi kesenian yang dimaksudkan merupakan kesenian yang mampu mengukuhkan prinsip-prinsip Islam”.

Nazrey menekankan bahawa kesenian yang nyata bagi setiap umat Islam adalah Al-Quran kalam Allah yang mampu membasahkan hati manusia melalui penghayatan terhadap kandungannya. “Cukup hanya dengan Al-Quran hati yang kosong mampu terisi penuh, jiwa yang kacau mampu menjadi tenang dan kekusutan yang dirasai mampu diberi nafas kelegaan”, ujar beliau lagi dalam sesi ceramah yang bertempat di Rumah Sabah, Abasa A’qad, Madinah Nasr.

Dakwah yang dijalankan oleh kita merupakan dakwah yang dipegang atas tali Allah. Kita seharusnya mengambil iktibar dari sifat para sahabat yang berdakwah dan mengimpikan syahid kerana Allah.

Dalam sesi soal jawab, Ustaz Nazrey Johani telah membuka mata mahasiswa dan mahasiswi Sabah agar belajar bersungguh-sungguh dan mereka seharusnya berada dalam kedudukan yang terbaik dalam dakwah untuk membantu rakyat Sabah yang masih jahil tentang asas-asas Islam itu sendiri.

Beliau yang merupakan pendakwah sepenuh masa berasa terpanggil untuk memberi semangat kepada anak-anak Sabah memandangkan tahap keimanan dan pengangan rakyat negeri itu terhadap islam masih lemah malah ada yang murtad kerana sebuah tali perkahwinan dan ada yang masih tidak mampu mendirikan solat dan menjaga batas-batas dalam kehidupan.

Sebelum mengakhiri program tersebut, Ustaz Nazrey Johani memberi peringatan kepada semua hadirin yang hadir agar berusaha dalam meniti jalan dakwah yang sentiasa akan menerima duri dan pahitnya.

“Kita haruslah terus mencari jalan kebenaran kerana dengan usaha kita itulah akan menghasilkan buah yang ranum dan lazat untuk dirasai oleh agama kita sendiri. Setiap umat Islam akan ditanya mengenai usaha mereka terhadap agama Islam”, nasihat beliau lagi.

Comments

comments

Comments are closed.