Kutipan Konsert ‘Love Palestine Night’ Mencecah Lebih LE 94 Ribu

Wartawan: Adila Syazwan Ridzuan

KAHERAH, 9 November: Konsert ‘Love Palestine Night 2012′ yang telah berlangsung di Dewan Persidangan Al-Azhar (ACC) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir dan Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri Perak, Pahang dan Melaka, Akademi Huffaz Mesir (AHM), Global Medic Network (GMN) dan Darul Rahim telah dibanjiri lebih daripada 1500 penonton yang menunjukkan kesatuan dan sokongan padu terhadap keamanan Palestin.

Penganjuran konsert ini sejajar dengan seruan ISMA Mesir kepada mahasiswa ke arah perpaduan tanpa mengira perbezaan latar belakang persatuan demi kebaikan dan ketaqwaan, meningkatkan kualiti dan jatidiri, berfikiran terbuka dan lebih matang serta membina gaya hidup berwawasan dan mempunyai agenda yang jelas.

Kutipan yang dijalankan sepanjang konsert berjaya mengumpulkan lebih daripada LE 94,000 termasuk hasil dari lelongan bendera Al-Qasam dengan harga tertinggi iaitu LE 20,000. Segala sumbangan akan disalurkan ke Palestin melalui Aman Palestin Berhad.

Dalam ucapan Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Suhaib Ar-Rumy bin Selamat menegaskan bahawa kita sebagai satu ummah perlu bersama-sama bersatu untuk Palestin. “Jadi, kita juga perlu bersatu untuk keamanan Malaysia yang kini bukan diserang dengan peluru-peluru tetapi serangan dari sudut ideologi”, tambah beliau.

Konsert tersebut turut dihadiri oleh Encik Mohamed Kamal, pimpinan Kementerian Perhubungan Luar Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mewakili Republik Arab Mesir, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti, Duta Besar Malaysia ke Kaherah mewakili rakyat Malaysia dan Dr. Monier Saeed, Timbalan Presiden Pertubuhan Al-Quds Antarabangsa yang juga pimpinan Politik HAMAS mewakili rakyat Palestin.

Nyanyian artis-artis jemputan, Nazrey Johani, Muadz Dzulkefly, Da’i Nada dan juga Fetya amat memukau penonton-penonton yang hadir. Lagu-lagu bertemakan Palestin membangkitkan lagi semangat para penonton dalam perjuangan membebaskan Palestin.

”Di Malaysia, perjuangan dan komitmen di peringkat kerajaan dan rakyat jelas untuk keamanan Palestin. Jadi, kepada pelajar-pelajar Islam perlulah juga perlihatkan kerjasama dan perpaduan untuk Islam serta mengenepikan kepentingan-kepentingan yang lain,” ucap Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Fakhrudin. Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur konsert, ISMA Mesir.

Pameran berkenaan isu-isu Palestin dan Malaysia, jualan Aman Palestin, lakonan dan deklamasi sajak turut menghidupkan majlis pada malam tersebut. Konsert yang gilang-gemilang tersebut telah mendapat liputan dari stesen HudaTV, Mesir dan juga Quran Nasional Mesir.

 

 

Comments

comments

Comments are closed.