Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Perlu Dipertahan

Wartawan: Hamzah Ahmad (Jurugambar: Ibrahim Mohd Azran)

MADINAH NASR, 10 November: Bersempena dengan Ekspo Perundangan Islam 2012 (EKSPRIM ’12), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Kelab Peguam Muda (KPM) dan Kedutaan Malaysia telah menganjurkan Forum Perdana : Perlembagaan dan Islam di Dataran Kompleks Hayyu Asyir.

Program yang berlangsung lebih dua jam itu telah membariskan En. Mohd Faizal (KPM Mesir) sebagai moderator, dan empat orang ahli panel, Tuan Haji Rahim Sinwan (PPMM), Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar (PPMM), En. Syamil Mohd Esa (ISMA Mesir) dan En. Iz’aan Azalan (KPM Jordan).

Forum Perdana  itu bertujuan memberikan pencerahan kepada mahasiswa mahasiswi  di bumi Anbiya’ ini agar cakna mengenai kaitan antara Islam dan Perlembagaan Malaysia.

Walaupun Perlembagaan Malaysia digubal oleh Suruhanjaya Reid yang majoritinya terdiri daripada individu bukan Islam, tetapi bukan bermakna tiada pelaksanaan undang-undang berkaitan Islam di dalamnya.

“Islam ditulis di dalam perlembagaan sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi. Ini bermakna ketinggian agama Islam di dalam perlembagaan telah terang-terangan menunjukkan kedudukannya dan termaktub di dalam Perkara 4”, jelas Tuan Haji Abdul Rahim Sinwan.

“Di dalam perlembagaan tidak boleh ada percanggahan antara satu sama lain, apabila bercanggah maka ia tidak berperlembagaan”, demikian kata Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar yang merupakan Presiden PPMM.

Forum tersebut telah mendedahkan fakta tentang kekurangan jumlah peguam syarie muslim di Malaysia dan kesukaran pelaksanaan undang-undang syariah apabila tidak ramai mahasiswa yang berani menceburkan diri dalam bidang ini khususnya pelajar-pelajar jurusan Syariah Islamiah.

Perlembagaan adalah batu asas dalam sesebuah negara dan mempunyai pelbagai tafsiran daripada pelbagai pihak. “Ketinggian undang-undang sesebuah negara bergantung kepada ketinggian masyarakat tersebut dan bagaimana mereka melihat syariat Islam itu sendiri”, menurut Ustaz Syamil Mohd Esa.

Comments

comments

Comments are closed.