Menggaris Ruh dari Langit

 Oleh: Abdul Rahman Ahmad Raji, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah).

Bukanlah semudah bicara ketika kita terpaksa berdiri di tengah-tengah kota para bijaksana . Ketika fakta dan rasionaliti akal menjadi ukuran utama. Zaman teknologi angkasa, capaian maklumat dan kenalan tanpa batasan, dan segala bentuk kemajuan yang ada, menjadi sebuah dimensi baru dalam fasa-fasa perjalanan sebuah perjuangan.

Kita hidup di dalam lautan pendapat dan arus cara fikir ahli falsafah, kimia, fizik, perubatan, politik, bisnes, jurutera, psikologi, pendidikan, astronomi, yang setiap daripadanya mempunyai alamnya tersendiri, punyai bahasa dan pertuturanya yang saling berbeza.

Orbit  yang Mengawal

Apa yang perlu kita fahami, Islam bukan berada di sebuah pergunungan yang asing dari kesibukan kota raya. Islam tidak bersifat jauh dan menolak segala bentuk manfaat dunia, dan hanya hadir ketika diadakan ceramah-ceramah agama. Tetapi, Islam adalah sebuah garis orbit  yang wujud di setiap bentuk, situasi dan masa.

“Dan tuntutlah apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu  hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia” (Al-Qasas:77)

Ia umpama orbit planet-planet yang menjadi landasan untuk ia bergerak dan berputar mengelilingi matahari. Garis orbit tersebut menghalang dari planet-planet tersebut saling bertembungan dan berlanggaran. Ia melahirkan sebuah gerakan yang cantik dan tersusun. Ia umpama orbit bulan yang menjadi landasan untuk ia mengelilingi bumi. Landasan yang mengekalkannya di atas jalan agar tidak tersimpang pergi.

Maka, apabila arus kemajuan teknologi dan percambahan ilmu tidak bergerak di atas orbitnya yang asal, tersimpang dari perjalanan yang digariskan, tidak mengikut arah tunjuk yang mengawal, maka ia hanya melahirkan kehancuran demi kehancuran, pertembungan demi pertembungan.

Sepertimana  planet-planet bergerak melebihi batas orbitnya!

Inilah apa yang sedang terjadi pada dunia, terutama di negara-negara maju yang kebanyakkannya didokongi oleh sistem jahiliyah Amerika dan Barat yang tidak sama sekali mengawal dan mengawasinya.

Kerna itu , orbit kebenaran  tersebut mesti diwujudkan.

Mengawal, memimpin, menghala, meletakkan batu-batu tanda agar tidak terlencong .

Ketika mana dunia kini melihat kehancuran sistem  Amerika dan Barat dalam memandu perjalanan, kita harus bangkit sebagai sebuah orbit yang baru dan mampu memandu.

Kita bersedia dengan segala bentuk kekuatan dan kemampuan dalam apa jua urusan dan mampu menjawab setiap persoalan dan permasalahan

Kebangkitan Yang Diragui

Gemilangnya dunia suatu masa dahulu, ketika Islam dijadikan garis orbitnya.

Telah berkata Brefault, seorang penulis  Eropah di dalam bukunya ‘The Making of Humanity‘ sekitar tahun 1919 :

“Bukan ilmu sahaja yang menghidupkan kembali Eropah malah banyak lagi pengaruh-pengaruh tamadun Islam yang memberi sinar harapan ke dalam kehidupan Eropah. Secara pasti, setiap sudut kemajuan Eropah boleh dikaitkan secara langsung dengan pengaruh keilmuan Islam. Namun pengaruh Islam yang paling nyata dan paling penting serta telah berjaya menjana potensi bagi membentuk dunia moden yang memiliki suatu kekuatan yang unik dan mantap ialah melalui ilmu sains dan budaya kajian sains.” 1

Lalu, pemikir Islam terkemuka Syed Qutb mengulas :

“Ketika melihat tamadun hari ini kita terlupa bahawa kita mempunyai saham dalam pembinaan tamadun ini. Selama ini kita merasakan seolah-olah kita tidak mempunyai peranan langsung kepada pembangunan ini dan seolah-olah tamadun ini terlalu hebat jika hendak dibandingkan dengan kita dan tamadun kita yang sudah dilupakan. Malangnya kita hanya mendengar pandangan musuh-musuh kita sedangkan mereka hanya mahu kita meragui kebangkitan semula masyarakat Islam yang berlandaskan manhaj Islam. Keraguan ini akan menguntungkan mereka kerana memberi jaminan untuk mereka terus berkuasa dan memastikan kepimpinan dunia ini tidak akan dirampas daripada mereka.”2

Tidakkah kita pernah menerajui dunia ilmu dan peradaban di Kota Baghdad?

Tidakkah kita pernah mengemudi  politik dunia ketika penawanan semula Baitul Maqdis

Tidakkah kita pernah menguasai dunia ketenteraan ketika penawanan Konstantinople?

Bukankah kita pernah menokohi dalam dunia perubatan , fizik , matematik , falsafah , seni , dan sebagainya?

Sejarah kita telah pun tertulis.

Namun , kita masih meragui.

Meragui kekuatan sendiri bermakna meragui kebangkitan itu sendiri.

Ruh Yang Terus Mengalir

Tulisan ini akhirnya ingin membawa pembaca ke sebuah lembah yang damai.

Di sebuah lembah yang air sungainya  mengalir tenang .

Terus mengalir tanpa henti dan menumbuhkan rerumput yang menghijau , menyuburkan pepohon yang rendang , menghasilkan tanaman yang elok dan buah-buahan yang ranum serta sedia dinikmati oleh umat manusia seluruhnya!

“Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim” (Riwayat Ibn Majah)

Nabi Muhammad SAW telah melahirkan ruh yang mengalir di dalam setiap hati seorang muslim ibarat air yang mengalir jernih.

Ruh menuntut ilmu itu Fardhu.

Menimba ilmu bukan sekadar menambah berkat dan ilmu, tetapi ia adalah amanah dan ibadah.

“Dengan ruh yang syumul dan berterusan ini, umat Muslimin mengambil ilmu, kerana ianya adalah kefardhuan yang menghubungkan alam bumi dan langit, amal dan aqidah, pengetahuan dan Allah” 3

Dan kefardhuan  adalah sebuah perjalanan dalam menghampirkan seorang hamba dengan Tuhannya.

“Seorang hamba-Ku tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepada-Ku dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya.” 4

Ruh ini mengiringi ilmu dengan perasaan iman, tunduk, patuh, dan cinta.

Ruh yang menghubungkan ilmu bumi yang sempit dengan langit yang tidak terbatas.

Tatkala ruh Illahi menjadi orbit yang mengawal dan menghala sesorang itu dalam dunia ilmu, menggarisi batas laluannya, maka ketika itu ia menumbuhkan pohon-pohon kemajuan yang menjulang ke ufuk langit tanpa sebarang cacat dan cela.

Maka hadith tersebut  menggesa setiap muslim tanpa terkecuali untuk segera menuju ke pintu-pintu ilmu,  walau apa jua pintu.

Dengan ruh ini kaki dan tangan Muslimin bergerak dan menapak ke makam  ilmu yang tinggi. Akal dan hati mereka berfungsi dan mengungguli di setiap gerbang ilmu yang luas.

Atas itulah lahirnya sejarah ilmu kita yang gemilang dengan hasil kajian dan lembaran yang terbilang, bahkan sehingga kini, masih terus diguna pakai dan diperkembang.

Selagimana hati kita beriman dan mengakui keesaan kuasa dunia hanya milik Allah SWT semata-mata, maka biarkan ruh kefardhuan ini terus mengalir di dalam hati, dan tersemat sentiasa di hujung sanubari.

Dengan ruh ini, langkah mengejar ilmu kita bermula.

Kepimpinan dunia akan berubah semula.

Rujukan :

1 Haza Deen , Syed Qutb
2 Haza Deen , Syed Qutb
3 Qabasat Min Rasul , Muhammad Qutb
4 Petikan Hadith Sahih , Riwayat Bukhari

Comments

comments

ISMAMESIR