Syiah Isu Antarabangsa, Bukan Isu Lokal

Wartawan: Asyraf Kosnan (Jurugambar: Ibrahim Mohd Azran)

MADINAH NASR, 5 November: “Syiah adalah isu antarabangsa, bukannya isu lokal”, tegas Ustaz Mohamad bin Ismail selaku Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam ceramah Bahaya Syiah dan Ancamannya yang bertempat di Wisma Seri Melaka.

Beliau berkata lagi, ajaran Syiah adalah fahaman berasaskan agenda Yahudi dan Parsi yang bertopengkan imej Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam daripada dalam.

“Sesetengah pihak beranggapan Syiah adalah salah satu mazhab dari mazhab-mazhab fekah, jadi mereka mengambil pendirian yang enteng tentang perkara ini. Namun tanpa kita sedar, ajaran syiah inilah yang menjadi musuh dalam selimut kepada Islam pada hari ini”, tambah beliau.

Majlis yang telah mendapat sambutan seramai 300 hadirin dalam kalangan mahasiswa mahasiswi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan sebenar tentang bahaya dan kesan syiah yang menggugat pegangan akidah umat Islam seluruh dunia.

Beliau turut mendedahkan beberapa usaha yang dijalankan oleh penganut syiah semata-mata untuk menyebarkan pemikiran mereka yang terpesong daripada landasan Islam yang sebenar.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ustaz Mohamad bin Ismail, “Puak Syiah telah berusaha mendapatkan bantuan daripada kerajaan Amerika Syarikat. Melalui campur tangan ini, mereka telah mendesak kerajaan Malaysia beberapa kali melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya tidak melakukan sebarang sekatan terhadap gerakan Syiah di Malaysia”.

“ISMA bergerak untuk kerja dakwah tetapi dalam masa yang sama ada usaha-usaha jahat golongan tertentu yang membantutkan gerakan dakwah ini yang kita perlu halang”, jelas beliau lagi apabila diajukan soalan kenapa ISMA memilih isu syiah.

“Saya bangga dengan tindakan yang diambil oleh ISMA yang berani untuk berada ditengah-tengah masyarakat membincangkan tentang bahaya ancaman musuh Islam dari luar mahupun dari dalam dan salah satunya adalah Syiah dan saya rasa program seperti ini perlu disokong oleh kita semua”, berkata salah seorang hadirin dalam ceramah pada malam tersebut.

Ceramah tersebut berlanjutan sehingga lewat pukul 10.30 malam dan melabuhkan tirainya sebaik sahaja selesai sesi soal jawab.

Comments

comments

Comments are closed.