‘Ada Apa Dengan ISMA’ DIsambut Baik Warga Mansurah

Wartawan: Syahidah Abdul Halim

MANSURAH, 30 Oktober 2012: Satu sesi forum dan dialog terbuka yang diberi nama ‘Ada Apa Dengan ISMA’ telah diadakan di Beit Himmah buat julung kalinya bagi memperkenalkan ISMA kepada masyarakat pelajar dan berbincang serta merungkai  bersama kekeliruan yang timbul berkenaan ISMA. Forum yang bermula sekitar jam 3 petang ini telah dihadiri oleh 18 orang Mahasisiwi dan  wakil dari Global Medic Network (GMN) dan Mansoura Manchester Medical Community (MMMC).

Program yang dianjurkan oleh biro pengkaderan ini bermula dengan sesi forum yang memberi pengenalan tentang  ISMA, isu-isu penting  yang berkaitan dan pendirian terhadapnya.  Tiga orang panel yang ditampilkan dalam forum ini ialah Saudari Siti Norasma’ Azahar dan Saudari Nurul ‘Iffah Fauzan,  penuntut tahun 5 kuliah perubatan Universiti Mansurah serta Ustazah Husna Mahmud, penuntut kuliah Syariah Islamiah Universiti al-Azhar.

“ Antara fokus utama ISMA-Mesir ialah untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari sudut keperibadian, akademik dan akhlaq berkonsepkan Islam sebagai cara hidup. Dengan itu, ISMA mengambil tarbiyah sebagai asas penting atau modal untuk mencapai fokus tersebut” jelas Saudari Nurul ‘Iffah bt Fauzan ketika ditanya mengenai visi dan misi ISMA-Mesir.

“ Kami meyediakan pakej pembinaan peribadi yang berketerampilan dari pelbagai sudut seperti dengan menawarkan tujuh wasilah  tarbiyah yang terdiri daripada usrah, daurah, katibah, mukhayyam, rehlah, nadwah dan muktamar. ISMA juga menyediakan program-program umum kepada masyarakat antaranya adalah ceramah umum bersempena tarikh-tarikh penting dalam Islam, jaulah , program akademik dan pelbagai lagi” jelas Saudari Siti Norasma’ bt Azahar  selaku Ketua Wanita ISMA cawangan Mansurah.

Apabila ditanya mengenai hubungan ISMA dengan persatuan lain yang berada di Mesir, beliau menjawab “ Kami sangat mengalau-alukan dan membuka ruang persepakatan bersama persatuan lain atas dasar Islam dan pembinaan jatidiri Mahasiswa muslim.”

“ Peranan Mahasiswa amatlah penting dalam pembinaan sesuatu bangsa, kerana mahasiswa merupakan entiti terbesar dalam golongan pemuda; di mana jatuh atau bangun suatu bangsa itu bergantung padanya.  Atas dasar itulah ISMA-Mesir memasyarakatkan tagline ‘Bersama Membangun Mahasiswa Beragenda’ .  ISMA juga melihat pembinaan pemuda bukanlah satu angan-angan atau kata-kata di mulut sahaja, tetapi direalisasikan dengan amal supaya kelak tertegaknya agama Islam di muka bumi ini dari tangan-tangan  pemuda”  tegas Ustazah Husna Mahmud berkenaan tagline baru ISMA-Mesir dan rasionalnya dengan mahasiswa di Perlembahan Nil ini.

Pihak penganjur amat berharap agar program ini dapat memberi gambaran secara jelas kepada masyarakat pelajar tentang ISMA dan semoga dengan itu dapat membuka ruang persepakatan dengan persatuan lain serta disambut baik oleh pelajar secara keseluruhannya

Comments

comments

Comments are closed.