Setulus Pengorbanan, Semurni Ikatan

Oleh : Ahmad Syamil Bin Mohd Esa, Master Kuliah Syariah

 

 

Mukadimah

Bagi seorang pengembara, perjalanan hidup yang mencabar adalah intipati utama dalam kamus hidupnya. Dia merungkai kepuasan sendiri apabila berjaya melalui halangan-halangan yang menyekatnya untuk ke destinasi seterusnya.

 

Apabila tiba ke satu destinasi, dia akan menunaikan apa yang dihajati, mencari apa yang terpendam selama ini, apabila selesai segala yang dikehendaki dia akan meninggalkannya dan mencari destinasi yang baru dan membuka kamusnya satu persatu sebagai penunjuk asas perjalanan hidupnya.

 

Begitulah umpamanya seseorang yang menuju Allah melalui perjalanan anak-anak tangga para ‘salik’. Namun perjalanannya bukanlah perjalanan dunia, ia adalah perjalanan jiwa dan pensucian hati.

 

“Hari di mana tidak berguna harta dan anak-anak, melainkan siapa yang bertemua Allah dengan hati yang sejahtera” – ayat 87-88, Surah Asy-Syuara’

 

Pada tiap-tiap kisah itu ada kuncinya

Islam mengajar umatnya erti ketinggian dan kesempurnaan, dan menuntut umatnya mencari sebab-sebabnya, agar ia selari dengan kesempurnaan ciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian.

 

Dengan meraikan fitrah hati manusia yang berbolak balik, Allah SWT mendatangkan pelbagai peristiwa dan sempena agar mereka dibantu secara semulajadi untuk membaiki diri dan menolak hati menuju kedudukan yang tertinggi.

 

Penceritaan kisah anbiya’ seringkali dijadikan sebab untuk menguatkan hati Rasulullah SAW dan sahabat. Padanya terdapat rahsia yang dipegang oleh orang terdahulu, yang tak mungkin dapat difahami melainkan dengan cara Allah menghidupkan kisah-kisah itu di sisi Rasulullah SAW dan sahabat.

 

“Dan demikianlah Kami menceritakan kisah-kisah para rasul agar ia dapat menguatkan hatimu, dan dengannyalah terjelas padamu kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang-orang beriman” – ayat 120, Surah Hud

 

Nilai sebuah jalan

Hakikatnya semua manusia hidup untuk sesebuah tujuan. Perjalanan hidup yang panjang akan membawa mereka kepada satu noktah pengakhiran yang wajib untuk difikirkan, iaitu ke mana mereka mahu pergi ? Persoalan ini tidak mampu terjawab dengan jawapan mudah seperti ke syurga, redha Tuhan atau sebagainya.

 

Ia perlu lebih kepada jawapan perkataan yang mampu diucapkan oleh kanak-kanak mumayyiz. Ia adalah perbuatan, kesungguhan, penat lelah hinggalah ia akan menuntut untuk ia dijawab dengan airmata dan darah.

 

Mungkin kerana itu beberapa kali Allah menyebut dalam Al-Quran, adakah kita sudah rasa layak ke syurga sedangkan kita belum lagi merasakan apa yang dirasai oleh orang terdahulu ? Sedangkan kita belum lagi diuji untuk Allah mengetahui siapa yang benar-benar berjihad dan bersabar ? Seperti yang tersebut dalam surah Al-Baqarah dan Ali Imran.

 

Sifir mukmin .. di sisi mereka tiada yang lebih utama melainkan Allah dan Rasul-Nya, serta perjuangan menegakkan agama-Nya. Hakikat ini ditanam hidup-hidup dalam jiwa sahabat ketika turunnya surah At-Taubah ;

 

“Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum kerabat kamu, harta yang kamu kumpulkan, perniagaan yang kamu takut ruginya, dan rumah-rumah yang kamu selesa hidup dalamnya itu, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya, dan berjihad di atas jalannya, maka tunggulah sehingga Allah menentukan urusannya, dan Allah sekali-kali tidak akan memberi hidayah kepada golongan fasiq” – ayat 24, Surah At-Taubah

Inspirasi daripada Al-Khalil AS

Orang terdahulu telah menyuluh jalannya. Kisah masyhur salah seorang Ulul Azmi, Ibrahim AS telah menjadi pengajaran terbesar umat Islam dalam mengutamakan wahyu berbanding kecenderungan peribadi, mengutamakan apa yang Allah mahu, berbanding apa yang dihajati nafsu.

 

Ibnu Qayyim RHM berkata ;

“Apabila Ibrahim AS meminta agar dikurniakan seorang anak lelaki, lalu permintaannya dikabulkan, dan hatinya mula terpaut dengan anaknya dengan penuh erat. Apabila Sang Kekasih (Allah SWT) melihat perkara itu, Dia tak mahu di sisi Al-Khalil (Ibrahim AS) ada ruangan cinta selain-Nya, lalu Dia memerintahkannya untuk menyembelihnya.

Ia benar-benar menguji Ibrahim AS, meski tujuannya bukanlah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi tujuan sebenar wahyu itu adalah untuk menyembeli cintanya di hatinya agar Ibrahim AS menyerahkan setulus cinta kepada Tuhannya.

Apabila Al-Khalil AS segera menunaikan arahan-Nya, melebihkan cinta Tuhannya berbanding cinta kepada anak, maka tercapailah tujuan, dan terangkatlah arahan sembelih itu. Lalu digantilah anaknya itu dengan seekor kibas yang besar” – Ad-Daa’ wad Dawaa’

 

Benih cinta yang membuah agenda

Kisah cinta mereka bukanlah seperti kisah mana-mana kisah cinta picisan yang memaparkan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi cinta kepada kekasih yang berlandaskan tolakan hawa nafsu semata-mata.

 

Bukan juga seperti kisah seorang abid yang setiap hari setiap malam bermunajat kepada Tuhannya, menangis dan terus menerus berdoa, namun tidak bertemu manusia kerana melarikan diri dari kefasadan.

 

“Bagaimana mereka boleh merasakan itulah yang lebih dicintai Allah sedangkan di sisi mereka hanyalah ketulan batu dan objek-objek mati yang tidak boleh berkata-kata ?” – Wahyul Qalam – Ar-Rafi’e

 

Inilah mafhum pesanan Imam Abd Qadir Al-Jailani ketika menyifatkan kategori zuhud ;

“Ahli zuhud yang baru (al-mubtadi’) akan menjauhi manusia kerana dia merasakan pada mereka ada segala keburukan. Namun ahli zuhud yang mahir (al-muntahi) akan mendekati mereka dan mencari-cari mereka, bagaimana dia boleh lari daripada mereka kerana segala ubat permasalahan mereka itu ada padanya ?” – Al-Fath Ar-Rabbani

 

Mereka yang terdahulu memahami erti kemuliaan seseorang Muslim itu tertakluk kepada sejauhmana mereka tulus untuk mengajak manusia mengenal Tuhan, mengajar agama dan membaiki kehidupan mereka agar selari dengan tuntutan agama.

 

Cinta dalam jiwa perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mulia dan lebih tinggi, bukan sekadar seperti permainan jiwa antara dua manusia, bahkan ia adalah pertarungan dan medan peperangan, demi menegakkan tujuan Sang Kekasih di muka bumi.

 

“Sesungguhnya ia adalah perkataan pemisah ! Sekali-kali ia bukanlah kata-kata yang sia-sia” – ayat 13-14, Surah At-Thariq

 

Menuju puncak ketinggian

Orang mukmin akan sentiasa mencari asbab menuju ketinggian. Hakikat ini disebut dengan begitu baik oleh Ibnu Jauzi RHM apabila beliau mengatakan ;

“Di kalangan orang-orang terpilih itu ada segolongan manusia yang apabila mereka bangun dan sedar mereka tidak pernah tidur, apabila mula berjalan mereka tidak pernah berhenti. Cita-cita mereka hanyalah ; mendaki dan terus meningkat. Apabila mereka melepasi satu-satunya maqam (perhentian) ke perhentian seterusnya, mereka akan melihat kekurangan dan kesilapan mereka sebelumnya, lalu mereka beristighfar” – Shaidul Khatir

Beginilah bentuk kemahuan untuk menuju ke puncak dan merasakan kelazatan ketinggian yang akhirnya melemahkan kecenderungan kepada perkara-perkara kecil. Istighfar mereka terhadap kesilapan lalu melengkapkan kekurangan mereka, juga menunjukkan keseimbangan jiwa yang menolak penyakit-penyakit hati yang boleh merosakkan amal. Keseluruhan hidup mereka adalah menuju ketinggian dan kesempurnaan.

 

Inilah yang ditunjukkan oleh orang terdahulu, inilah juga intipati yang diambil daripada kisah-kisah para anbiya’ dan salafussoleh. Mereka memahami hakikat sebenar perjuangan, kecintaan, dan pengorbanan.

 

Semua ini membawa kita kepada satu noktah ; Sekiranya kita ingin belajar bercinta, merekalah gurunya.

 

Artikel ini diletakkan di dalam Buletin IKATAN edisi Oktober 2012 . 

Comments

comments

Comments are closed.