
Pada 7 Febuari yang lalu telah diadakan Hari Graduasi anjuran Kuliah Perubatan Universiti Mansoura bagi meraikan generasi pertama yang telah menamatkan pelajaran dalam bidang perubatan. Wartawan ISMA-Mesir, Nur Amalina Halil sempat menemuramah saudari Dhamirah Nazihah Mohd. Nasiruddin yang merupakan mahasiswi ISMA-Mesir yang telah merangkul keputusan terbaik dibawah Program Perubatan Mansoura- Manchester.
Dhamirah Nazihah merupakan cahaya mata pertama kepada pasangan Dr. Mohd. Nasiruddin dan Dr. Norzila Baharin. Telah dilahirkan di Alor Star, Kedah dan dibesarkan di Kuantan, Pahang. Memperolehi keputusan 80.46% peratus dalam peperiksaan terakhir beliau sekaligus menduduki tempat ke sembilan keseluruhan dan merupakan pelajar Malaysia terbaik. Ikuti temuramah bersama beliau.
Boleh saudari ceritakan serba sedikit latar belakang saudari?
Saya merupakan anak sulung dari empat orang adik beradik. Sekolah terakhir saya ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Selepas menamatkan zaman persekolahan, saya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Alhamdulillah saya dapat melanjutkan pelajaran di sini dengan pinjaman MARA.
Apakah pendorong kejayaan saudari?
Saya meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat kejayaan. ‘Mumtaz untuk Ummah’ memberi perangsang kepada saya. Ayah dan ibu sangat menyokong saya melakukan sesuatu dengan terbaik. Tambahan lagi, suasana yang baik dan rakan-rakan sering membantu saya. Alhamdulillah, Allah mengurniakan minat dan azam yang tinggi kepada saya dalam bidang ini.
Apakah moto hidup dan tokoh ikutan saudari?
“The strongest single factor in prosperity of consciousness is self-esteem: believing you can do it, believing you deserve it, believing you will get it”. Saya memilih Dr. Zainur Rashid Zainuddin sebagai tokoh kerana beliau bukan hanya seorang doktor pakar malah juga sebagai seorang da’ie yang disegani.
Apakah kepentingan dakwah, tarbiyyah dan kecemerlangan akademik yang anda fahami?
Bagi pandangan saya, dakwah merupakan satu tuntutan oleh Allah yang akan dipersoalkan oleh-Nya pada hari akhirat kelak. Maka wajiblah bagi setiap individu muslim berdakwah. Manusia adalah hamba yang lemah dan seharusnya memperbaiki diri hari demi hari. Maka tarbiyyah sangat penting bagi diri saya dan membantu saya mengenali Islam dengan lebih jelas.
Kecemerlangan dalam akademik dan lain-lain sangat dituntut oleh Islam dan boleh saya katakan ianya juga berkaitan dengan pentarbiyyahan diri. Jika cemerlang akedemik tetapi tidak dapat menjadi seorang muslim sejati maka hidup kosong dan tidak bermakna. Begitu juga sebaliknya, jika akademik tidak cemerlang maka ianya sesuatu yang bercanggah dengan apa yang kita dapat dari tarbiyyah yang menuntut melakukan sesuatu pekerjaan dengan terbaik. Dakwah juga tidak dapat disampaikan dengan baik kerana masyarakat sangat memandang tinggi kepada orang yang berilmu.
Bagaimanakah saudari mengimbangkan antaran dakwah, tarbiyyah dan pelajaran?
Sebagai seorang da’ie dan pelajar, saya telah memperuntukkan waktu untuk semua pekara yang saya lakukan. Ketika sesi pelajaran dalam kelas, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya. Selain waktu kelas, saya akan menyelesaikan pekara dan tugasan lain seperti ziarah mad’u, usrah, dan lain-lain. Pendapat saya tentang masa, kita perlulah mengisinya dengan sebaik-baiknya dan perlulah proaktif dalam mencari masa jika rasa kesuntukkan masa.
Boleh saudari kongsikan sedikit tips belajar berkesan?
Pada pandangan saudari, apakah fungsi seorang doktor terutamanya doktor wanita?
Pada pandangan saya, fungsi seorang doktor bukan hanya treat the causes dan fizikal semata tetapi fungsi doktor sangat luas. Doktor merupakan individu yang sangat dipercayai oleh masyarakat dan perlulah memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka dengan menekan aspek mental dan spirtual. Medan seorang doktor untuk berdakwah adalah sangat luas. Doktor wanita dapat membantu menjaga kemaslahatan pesakit wanita lain seperti aurat wanita yang perlu dijaga.
Apakah nasihat saudari kepada mahasiswa/mahasiswi dalam bidang perubatan terutamanya di Mesir?
Saya mewakili ISMA-Mesir mengucapkan tahniah atas kejayaan saudari dan berharap agar saudari menjadi doktor contoh yang menjadi ikutan masyarakat.